Tuesday 2 April 2013

Tanggungjawab saya semasa menggunakan media sosial.


Tanggungjawab saya semasa menggunakan media sosial.
                Media sosial adalah sejenis media yang digunakan terus secara talian dengan membolehkan para pengguna dengan mudah untuk menyertai, berkongsi, dan mencipta isi meliputi blog, rangkaian sosial, wiki, forum, dan dunia virtual. Blog, rangkaian  sosial dan wiki merupakan bentuk media sosial yang paling umum digunakan oleh masyarakat di seluruh dunia. Terdapat beberapa laman sosial yang telah digunakan oleh orang muda pada masa kini. Antaranya adalah laman sosial Facebook, Twitter, Myspace, Blog, Instagram, Skype, Youtube, Google, Yahoo  dan sebagainya. Ada beberapa orang menggunakannya dengan menyebarkan perkara yang positif , manakala ada sesetengah pihak menggunakkannya dengan menyebarkan perkara yang negatif. Ini dapat menyebabkan sesetengah orang itu terpengaruh dengan menyebarkan perkara yang negatif.

                Media massa meliputi media cetak seperti akhbar dan majalah manakala media elektronik pula melibatkan televisyen , radio serta internet. Kini terdapat teknologi baharu iaitu menggunakan internet dan telefon bimbit yang menjadi semakin maju maka media sosial juga turut membangun dengan pesat. Kini untuk mengakses facebook atau twitter misalnya, boleh dilakukan di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa hanya dengan menggunakan sebuah telefon bimbit. Kedudukan media massa dalam masyarakat begitu penting terutama untuk memastikan masyarakat mengetahui semua perkara yang berlaku di dunia ini selaras dengan konsep masyarakat bermaklumat. Ada juga pendapat yang mengaitkan media massa terlalu banyak memaparkan informasi sehingga sukar untuk diterima dan difahami oleh mereka yang melihatnya lalu menjadikan maklumat itu tidak berguna. Oleh itu, terdapat beberapa tanggungjawab yang perlu dilakukan semasa menggunakan media massa ini.

               Salah satu tanggungjawab saya semasa menggunakan media sosial  ini adalah dengan tidak terpengaruh oleh laman sosial pada masa kini iaitu Facebook. Saya cuba mengelak daripada menyebarkan maklumat yang negatif tentang sesuatu isu. Pada masa kini, terdapat ramai pihak yang gemar menyebarkan fitnah atau memburukkan seseorang dengan cara yang tidak bertanggungjawab. Sebagai contoh iaitu dengan menyebarkan gambar yang kurang sopan tentang seseorang dengan tujuan untuk mengaibkannya. Tindakan seumpama ini akan memalukan individu berkenaan dalam kalangan rakannya khususnya dan rakyat Malaysia amnya. Tindakan seumpama ini perlu dibanteras melalui peraturan sedia ada agar menjadi pengajaran kepada pihak yang berkenaan agar tidak meneruskan perbuatan tersebut.

                Selain itu, perkongsian idea dan maklumat berkaitan sesuatu Mata pelajaran  juga merupakan tanggungjawab saya semasa menggunakan media sosial.Saya juga dapat berkongsi pandangan dan pendapat dengan rakan berkaitan kaedah atau pendekatan untuk menyediakan nota yang lengkap melalui sesuatu Mata pelajaran. Saya juga dapat berkongsi soalan yang dianalisis berdasarkan topik bagi beberapa Mata pelajaran dengan rakan-rakan. Kelebihan kaedah seperti ini akan membolehkan saya dan rakan-rakan memperoleh lebih banyak maklumat tentang sesuatu maklumat berkaitan sesuatu topik Mata pelajaran. Melalui perkongsian seperti ini saya akan lebih yakin untuk mengarang berkaitan sesuatu isu kerana saya penuh yakin bahawa rakan-rakan saya akan turut membantu.

                Seterusnya, melalui kemudahan media massa internet, saya merasa bertanggungjawab untuk menegur dan memperbetulkan apa jua salah faham apa pandangan yang berbeza dalam kalangan rakan saya mengenai sesuatu isu yang saya ketahui kebenarannya. Saya akan menghubungi rakan saya yang sebelum ini telah memperolehi maklumat yang salah tentang sesuatu isu. Saya akan menghubungi rakan dan memaklumkan secara berhemah tentang kebenaran dan fakta tepat berkaitan dengan sesuatu isu. Melalui media massa juga, saya akan  menyediakan contoh penulisan berkaitan sesuatu topik dengan catatan yang lengkap termasuk pandangan beberapa tokoh yang terkenal tentang sesuatu isu.

                 Di samping itu, laman sosial blog juga yang berperanan menjadi penghubung antara blogger bagi tujuan berkongsi maklumat dan cerita berkaitan sesuatu isu. Terdapat blogger yang gemar mencetuskan isu yang seterusnya memberi kesan kepada timbulnya rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Sebagai contoh, isu berkaitan kepentingan dan keselamatan negara dijadikan bahan gelak ketawa oleh golongan tertentu. Sebagai blogger, saya akan sentiasa memastikan semua data dan maklumat tentang keselamatan negara perlu dilindungi daripada dicerobohi. Maklumat yang betul dan tepat dalam blogger akan meningkatkan rasa kepercayaan yang tinggi kepada seseorang blogger.

                 Akhir sekali, semua pihak perlu lebih bertanggungjawab ketika menggunakan kemudahan sesawang seperti laman sosial Facebook , Twitter, Blog, Myspace, Youtube, Yahoo, Instagram, Google, Skype dan lain-lain lagi. Semoga semua kemudahan sesawang yang disenaraikan di atas akan mampu menyemai rasa tanggungjawab setiap individu yang menggunakan kemudahan berkenaan untuk berkongsi pandangan, pendapat dan penyebaran maklumat. Dalam usaha mengurangkan isu salah guna kemudahan laman sosial, pihak kerajaan perlu membuka ruang yang lebih besar kepada semua pelajar sekolah untuk memiliki kemudahan Notebook. Sehingga kini, sejumlah besar pelajar telahpun menerima kemudahan berkenaan. Pihak atasan seharusnya lebih peka dalam memastikan kemudahan berkenaan dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.         

                                                                                                  (717 patah perkataan)